PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Wednesday, Aug 23rd

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Berita Kenyataan Akhbar

Kenyataan Media

FOREX INTERNET HARAM - MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

  • PDF

 

 

FOREX HARAM UNTUK ORANG ISLAM – MAJLIS FATWA KEBANGSAAN | Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan sistem tukaran wang asing menerusi internet adalah haram untuk disertai umat Islam. Pengerusinya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, menerusi perbincangan antara ahli jawatankuasa fatwa didapati urus niaga berkenaan tidak memenuhi syariah.

Menurutnya, setakat ini ditetapkan ia adalah haram kerana banyak perkara yang meragukan dan syariah tidak membenarkannya.

“Saya menyeru kepada umat Islam supaya tidak perlu menyertainya perniagaan Forex ini sehingga sekarang ia adalah haram. Urus niaga perseorangan secara internet menerusi orang tengah ini adalah haram disebabkan dalam jual beli ini tidak ada kontrak secara jelas,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga memberitahu, individu yang menyertainya juga boleh terdedah kepada untung dan rugi yang tidak menentu. Katanya, pertukaran menerusi bank dengan bank secara rasmi adalah halal untuk disertai dan umat Islam digalakkan untuk menyertainya. Dalam pada itu, beliau berkata masih ada yang tidak berpuas hati walaupun pihaknya memutuskan pelaburan menerusi Skim Sijil Simpanan Premium (SSPM) yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kita membuat kajian dan pihak bank juga memberikan penjelasan yang meyakinkan di samping penambahbaikan mengikut sistem mudarabah. Majlis Fatwa Kebangsaan juga turut berpuas hati dan tidak meragui sistem terbabit dan pelabur harus mendapat pulangan seperti diterima sekarang,” katanya. – Petikan : Sinar Harian Online

 

Sambutan Hari Kekasih boleh merosakkan aqidah

  • PDF

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ingin menggesa seluruh umat Islam supaya mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke-71 pada 22-24 November 2005 yang telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.  Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Berpandukan kepada keputusan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersebut yang boleh diakses melalui laman web e-fatwa Jakim di alamat www.e-fatwa.gov.my, sewajibnya seluruh umat Islam akur serta memahami bahawa sambutan perayaan hari Valentine adalah sesuatu amalan yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.  Aqidah adalah menjadi perkara teras dalam ajaran agama Islam yang mesti dipelihara oleh setiap umat Islam.

Adalah menjadi keperluan mendesak kepada seluruh umat Islam untuk memahami isu ini bahawa sambutan perayaan hari Valentine adalah sesuatu aktiviti yang dilarang dalam Islam kerana mempunyai susur galur sejarah yang berkaitan dengan agama bukan Islam.  Elemen ini adalah elemen utama yang menjadi alasan keharaman sambutan perayaan Valentine bagi seluruh umat Islam.  Dasar ini adalah selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Kaafirun, ayat 1-6 yang bermaksud:
 
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.  Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang Aku sembah.  Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.  Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat.  Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".
 
PUM juga menyokong inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah melancarkan kempen Awas!  Jerat Valentine's bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pihak NGO, Raudhah Sakinah.  Pada hemat PUM, pendekatan seumpama ini mesti dikembangkan ke seluruh pelosok tanah air supaya dapat membantu membina kefahaman umat Islam khususnya di kalangan orang muda dalam menangani isu tersebut secara objektif.

Dalam pada masa yang sama, PUM juga mengesyorkan kepada pihak berwajib seperti Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak-pihak berkepentingan lain melakukan pemantauan berterusan kepada siaran media cetak dan elektronik supaya tidak menyiarkan apa jua kempen, iklan, drama, filem dan artikel yang boleh menggalakkan umat Islam menyertai sambutan hari valentine tersebut.
 
PUM juga ingin menasihatkan masyarakat bukan Islam supaya memahami isu ini secara objektif serta menghormati prinsip agama Islam yang wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam.  Dasar hukum ini adalah hanya mengikat dan terhad kepada seluruh umat Islam sahaja.
 
*Kenyataan media oleh Dr.Mohd Roslan Mohd Nor selaku Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia.

Berhati-hati terlibat dalam Perayaan Bukan Islam

  • PDF

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berpandangan semua pihak khususnya umat Islam sepatutnya lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu keterlibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam.  Ini adalah kerana perkara tersebut mempunyai hubungkait dengan aqidah umat Islam.  Aqidah adalah komponen teras dalam agama Islam.

PUM berpandangan isu berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005.  Salinan Garis Panduan tersebut boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim seperti di alamat www.e-fatwa.gov.my.

Dalam Garis Panduan tersebut, antara keputusan yang diputuskan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah jelas menyatakan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.  Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam.  Sehubungan itu, berpandukan keputusan tersebut, pada hemat PUM, adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam. 

PUM juga amat mengharapkan semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada para pemimpin di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri masing-masing dalam menangani isu ini.  Dalam pada masa yang sama, seluruh pemimpin yang beragama Islam tersebut dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut.  Para pemimpin dan masyakarat bukan Islam juga adalah amat diharapkan supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam.  Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam.

Semua pihak termasuk para pemimpin di setiap peringkat serta masyarakat awam adalah dinasihatkan supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama Islam khususnya melibatkan aqidah serta syariat Islam.  Para pemimpin dan masyarakat awam juga adalah dinasihati supaya akur dengan nasihat dan pandangan para ulama' dalam memelihara kedaulatan agama seperti yang diletakkan dalam prinsip maqasid syariah. 

PUM berpandangan isu ini adalah mustahak untuk ditangani dengan kadar segera disebabkan umat Islam akan terus berhadapan dengan perayaan agama orang bukan Islam.  PUM ingin mencadangkan kepada Jakim agar menganjurkan majlis dialog penerangan secara aktif kepada para pemimpin dan masyarakat Islam tentang keputusan dasar ini.  Oleh yang demikian, PUM juga bersedia bekerjasama dengan  Jakim, Majlis dan Jabatan Agama Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain institusi untuk memberikan kefahaman dalam isu yang berbangkit ini.

*Kenyataan media oleh Dr. Mohd Roslan Mohd Nor  (gambar kanan) selaku Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia.

DAULAT TUANKU SULTAN SELANGOR

  • PDF

PUMSel mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke 66 Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Pada Hari ahad 11 Disember 2011 Bersamaan 15 Muharram 1433.

Semoga DYMM Tuanku terus memerintah dengan adil dan saksama dan terus meninggikan syariat Islam di Negeri Selangor.

KENYATAAN MEDIA PUM TENTANG ISU AQIDAH

  • PDF

1.        Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) amat prihatin dalam soal mempertahankan aqidah serta kesucian agama Islam. Dasar untuk berpegang teguh kepada aqidah Islam adalah jelas seperti yang termaktub dalam surah al-An’aam ayat 153 yang bermaksud:

“dan bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

2.         Oleh yang demikian, PUM adalah sangat bertegas dalam isu-isu yang berkaitan dengan aqidah, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mempertahan serta memperkukuhkan aqidah umat berpandukan kepada kekuatan serta bidangkuasa yang ada.

3.         Dalam mendepani isu aqidah umat, PUM berpandangan salah satu aspek penting yang perlu diberikan perhatian berat adalah soal kefahaman umat Islam tentang manhaj serta prinsip aqidah Islam yang sebenar. Pada hemat PUM, kegoyahan pegangan aqidah umat Islam adalah kesan langsung daripada kegagalan umat Islam untuk memahami prinsip serta manhaj aqidah dalam Islam.

4.         Oleh yang demikian, berpegang kepada prinsip keilmuan yang akan tunjang kepada penghayatan umat, PUM berpandangan adalah menjadi komitmen kepada para ulamak dan agamawan untuk turun ke lapangan umat memberikan kefahaman berkaitan ilmu-ilmu aqidah Islam. Platform-platform ilmu seperti institusi sekolah, masjid, surau, madrasah, pusat pengajian tinggi, jabatan serta agensi awam dan swasta perlu disemarakkan dengan kuliah pengajian yang berteraskan aqidah Islam.

5.         Sesungguhnya legasi-legasi keilmuan berkaitan aqidah perlulah ditebarkan seluasnya kepada umat tidak kira sama ada kepada kelompok kanak-kanak, remaja dan dewasa. PUM amat percaya dengan kefahaman berteraskan ilmu adalah tapak asas kepada penghayatan aqidah yang kukuh serta mampu menjadi benteng ampuh bagi menghadapi apa jua cabaran termasuk dakyah-dakyah yang sengaja dirancang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Dengan ilmu dan iman yang mantap, umat Islam pasti tidak akan mengorbankan aqidah suci yang diimaninya.

6.         Memang sudah menjadi tradisi para ulamak serta agamawan termasuk PUM yang sentiasa menjadikan platform ilmu sebagai wasilah untuk memperkukuhkan kefahaman aqidah umat. Sesungguhnya kita mempunyai banyak mekanisme untuk memperkukuhkan aqidah umat Islam dalam konteks Malaysia. Sehubungan itu, adalah amat penting kepada semua pihak untuk berlapang dada serta menghormati usaha-usaha untuk memperteguhkan aqidah umat selagimana usaha tersebut diiktiraf syarak dan menjunjung tinggi prinsip maqasid al-syariah.

Sekian, terima kasih.

Ustaz Nik Muhd Marzuki Muhd Nor

Pengerusi Lajnah Perhubungan Antarabangsa

Persatuan Ulama’ Malaysia