PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Wednesday, Aug 23rd

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Berita Kenyataan Akhbar Berhati-hati terlibat dalam Perayaan Bukan Islam

Berhati-hati terlibat dalam Perayaan Bukan Islam

  • PDF

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berpandangan semua pihak khususnya umat Islam sepatutnya lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu keterlibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam.  Ini adalah kerana perkara tersebut mempunyai hubungkait dengan aqidah umat Islam.  Aqidah adalah komponen teras dalam agama Islam.

PUM berpandangan isu berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005.  Salinan Garis Panduan tersebut boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim seperti di alamat www.e-fatwa.gov.my.

Dalam Garis Panduan tersebut, antara keputusan yang diputuskan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah jelas menyatakan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.  Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam.  Sehubungan itu, berpandukan keputusan tersebut, pada hemat PUM, adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam. 

PUM juga amat mengharapkan semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada para pemimpin di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri masing-masing dalam menangani isu ini.  Dalam pada masa yang sama, seluruh pemimpin yang beragama Islam tersebut dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut.  Para pemimpin dan masyakarat bukan Islam juga adalah amat diharapkan supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam.  Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam.

Semua pihak termasuk para pemimpin di setiap peringkat serta masyarakat awam adalah dinasihatkan supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama Islam khususnya melibatkan aqidah serta syariat Islam.  Para pemimpin dan masyarakat awam juga adalah dinasihati supaya akur dengan nasihat dan pandangan para ulama' dalam memelihara kedaulatan agama seperti yang diletakkan dalam prinsip maqasid syariah. 

PUM berpandangan isu ini adalah mustahak untuk ditangani dengan kadar segera disebabkan umat Islam akan terus berhadapan dengan perayaan agama orang bukan Islam.  PUM ingin mencadangkan kepada Jakim agar menganjurkan majlis dialog penerangan secara aktif kepada para pemimpin dan masyarakat Islam tentang keputusan dasar ini.  Oleh yang demikian, PUM juga bersedia bekerjasama dengan  Jakim, Majlis dan Jabatan Agama Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain institusi untuk memberikan kefahaman dalam isu yang berbangkit ini.

*Kenyataan media oleh Dr. Mohd Roslan Mohd Nor  (gambar kanan) selaku Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia.

BLOG COMMENTS POWERED BY DISQUS