PUMSel

PUM Cawangan Selangor

Wednesday, Aug 23rd

Last update11:34:42 PM GMT

You are here: Fokus Semasa Pelbagai MAQASID SYAR'IYYAH

MAQASID SYAR'IYYAH

  • PDF

MUKADDIMAH

Syariah ditakrifkan sebagai “ setiap sesuatu yang telah disyara’kan Allah ke atas hamba-Nya dalam keseluruhan urusan al-Deen dengan pelbagai hukum yang berkaitan. Syariah merupakan keseluruhan ajaran Islam yang terkandung di dalamnya urusan aqidah , akhlak, dan perundangan.” Umat Islam telah diperintahkan untuk tidak memisahkan diri mereka dengan satu juzuk pun daripada keseluruhan ajaran Islam tersebut bila mana mereka telah diarahkan oleh Allah melalui firmannya;

“ Wahai orang-orang yang beriman , masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan kerana mereka itu adalah musuh kamu yang nyata” ( al-Baqarah : 208 )

MAQASID SYARIAH

Apabila membincangkan tentang maslahah syariah, kita tidak dapat lari daripada membincangkan tentang maqasid syariah. Maqasid syariah dapat dikatakan sebagai kefahaman akan tujuan-tujuan syariah, ruh di sebalik sesuatu hukum dan tujuan hukum tersebut disyariatkan. Inilah merupakan sumbangan unik seorang pemikir perundangan Islam abad ke 8 hijriah al-Imam Ibrahim Ibn Ali al-Shatibi, atau lebih dikenali sebagai Imam al-Shatibi. Beliau telah memberikan perspektif baru kepada fiqh dan kefahaman kita akan syariah.

Menurut Imam al-Shatibi, syariah datang untuk membawa maslahah kepada manusia seluruhnya, atau datang untuk kepentingan manusia itu sendiri. Ia dapat menunjukkan jalan keluar kepada apa juga masalah semasa, jika kita memahami prinsip-prinsip universalnya, tujuan dan matlamat syariah. Memahami tujuan dan matlamat syariah, memahami teks dan konteks, dalam kerangka prinsip-prinsip umum syariah atau al-Maqasid al-Syari’iyyah, kita akan lebih bersedia menghadapi cabaran dan permasalahan masakini dan masa akan datang. Inilah merupakan sumbangan utama Imam al-Shatibi kepada pemikiran perundangan Islam.

 

TAKRIF MAQASID SYARIAH

  1. Imam al-Syatibi dalam buku beliau yang tersohor iaitu al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah mendefinisikan maqasid syariah sebagai “untuk menegakkan kebaikan atau kemaslahatan kepada manusia dan mengelakkan daripada berlakunya fasad atau keburukan”.
  2. Menurut Izzuddin Abdul Salam , ia adalah Jalb al-Masaleh wa Dar al-Mafasid, yakni mewujudkan kebaikan-kebaikan dan mencegah dari kebinasaan-kebinasaan, sama sebagaimana takrif al-Syatibi di atas.
  3. Ibnu ‘Asyur pula menyatakan, “pemeliharaan kepada fitrah manusia.”

 

Dari tiga takrif ini dapatlah dirumuskan bahawa maqasid syariah merupakan sebab atau maksud am kepada syariat Allah SWT yang merangkumi segala aspek kebaikan untuk manusia. Pengharaman atau pengharusan sesuatu hukum itu tidak lain tidak bukan melainkan sudah pasti ada rahsia tertentu daripada Allah SWT yang mungkin sebahagiannya dapat diketahui oleh manusia dan sebahagian besar lagi akan tetap menjadi rahsia Allah SWT.

Ada perkara tertentu dalam hukum Allah ini yang dikenali sebagai hukum tauqifi, yang mana rahsia dan sebabnya hanyalah Allah SWT sahaja yang mengetahuinya dan ada juga yang tercapai oleh akal manusia untuk mengkajinya justeru penggunaan akal manusia tidaklah dipandang statik dalam ajaran Islam.

Satu sikap yang perlu dibina dalam konteks penyerahan diri kepada Allah dan juga dalam rangka mencari maqasid ini, kita mengimani bahawa di sana ada sempadan tertentu yang menjarakkan kita dengan rahsia-rahsia tersebut dan sikap kita adalah dengar dan taat.

Dari segi prioriti syariah, maqasid dibahagikan kepada tiga , iaitu;

1. al-Dharuriyat – Perkara yang tidak boleh dipisahkan dalam hidup seseorang insan yang mana jika dipisahkan ia daripadanya akan menyebabkan huru-hara dan terungkainya makna hidup seseorang insan. Hal ini tercakup dalam 5 perkara asas yang perlu dipelihara;

 

i. Aqidah : Islam menyekat murtad dan perkara yang menggugat aqidah Islam samada gejala riddah atau memerangi Islam.

ii. Nyawa : Islam tidak membenarkan membunuh tanpa hak, membunuh diri, menyakiti individu lain tanpa hak, maka tidak dibenarkan juga menyerang sesama manusia tanpa sebab.

iii. Aqal : Islam tidak membenarkan umatnya merosakkan aqalnya samada dgn meminum arak, dadah atau apa jua yang memabukkan, tidak juga bebas meihat atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan aqal.

iv. Maruah atau kehormatan / keturunan : Islam juga tidak membenarkan mencabul kehormatan sesama manusia, tidak juga dibenarkan berzina, menuduh zina tanpa saksi, mengumpat, memfitnah, dan mencari-mancari kesalahan manusia.

v. Harta : Islam tidak membenarkan merampas harta, curi, rompak, memeras, menipu, menindas secara riba dan seumpamanya.

2. al-Hajiyat – Perkara yang diperlukan oleh manusia untuk memudahkan kehidupan mereka yang sekiranya tidak dimiliki akan mendatangkan kesempitan namun tidak sampai kepada peringkat memberikan kesan kepada keseluruhan hidupnya. Tiadanya hajiyat tidak merosakkan kehidupan.

Hajiyat berlaku dalam bidang ibadat, adat, muamalah ,jinayah dan sebagainya. Sebagai contoh dalam bidang ibadat ialah seperti rukhsah-rukhsah yang menimbulkan keringanan bagi menghindarkan masyaqqah, seperti boleh solat duduk bagi pesakit, berbuka dan solat qasar untuk musafir dan sebagainya.

Demikian pula dalam bidang adat seperti bolehnya perburuan, makan-makanan yang sedap-sedap sebagai nikmat dari Allah, memiliki rumah dan kenderaan yang baik dan sebagainya. Semua hal ini, jika tidak terlaksana tidaklah sampai merosakkan kehidupan manusia. Contohnya, seorang yang bermusafir enggan berbuka puasa, tidak menimbulkan justifikasi hokum dan puasanya juga tidak rosak.

3. al- Tahsiniyat – Perkara yang berkaitan dengan kesempurnaan hidup seperti akhlak dan juga tuntutan lain yang berkaitan dengan manusia untuk memberikan kerehatan yang lebih selesa dalam rangka menjalani hidup sebagai seorang insan. Ia merupakan mengoptimumkan aplikasi kehidupan selama mana ia tidak bertentangan dengan adat kebiasaan yang baik yang semuanya tercakup oleh bahagian makarim al-akhlak (kesempurnaan akhlak ).

Sebagai contoh dalam ibadat; memaksimalkan amalan solat-solat sunat, zikir dan doa , dalam adat ; seperti berprotokol ketika makan dan minum, dan sebagainya. Pendek kata tahsiniyat ini merupakan penghias kepada aplikasi kehidupan menuju kepada kesempurnaan hidup manusia .

 

KESIMPULAN

Sebenarnya syariat Allah SWT diturunkan untuk menjaga lima asas penghidupan manusia, bermula dari keutamaan pertama ; agama, nyawa, akal fikiran, maruah atau keturunan dan harta. Jadi di sini kita lihat prinsip universal Islam ini berdasarkan maslahah menjaga kelima-lima keperluan induk penghidupan manusia, ini merentasi batasan syariah Islam di mana berdasarkan lima prinsip ini Imam Al-Shatibi menegaskan tanggung jawab kita sebagai umat Islam bukan setakat menjaga diri kita sendiri sebagai orang Islam atau masyarakat kita sendiri sebagai umat Islam, tetapi juga memelihara hak asasi manusia merentasi akidah dan pemikiran agama.

Ini satu revolusi dalam bidang fiqh dan juga usul fiqh berdasarkan maslahah, memahami tujuan kepada syariah. Beliau menegaskan bahwa kita ini bila melihat sesuatu teks atau hadis daripada al-Quran dan al-Hadis, kita tidak sepatutnya hanya melihat kandungan lafaz dari teks tadi, tetapi juga melihat latar belakang bagaimana dan kenapa nas atau teks itu wujud.

Sesungguhnya melihat hukum Allah dengan menilai maqasid syariah telah membongkarkan segala rahsia hukum Allah dan kehebatan Allah sebagai Tuhan yang telah menetapkan segala peraturan kepada hamba-hamba-Nya. Objektif syariah iaitu untuk mempermudah urusan manusia memberi keyakinan bahawa Islamlah satu-satunya cara hidup yang amat sesuai untuk dipraktikkan oleh umat manusia untuk menjadikan mereka maju dan bertamadun.

Islam membangunkan manusia dengan mengeksploitasi kesemua empat-empat unsur diri manusia iaitu spiritual, intelektual, emosional, dan material. Hukum-hukum sama ada dalam aspek ibadah mahupun muamalat, akan menghidupkan unsur diri manusia itu dengan cara yang cukup harmonis. Unsur spiritual dalam aspek ta’abbudi seharusnya tidak mematikan unsur intelektual dalam aspek penilaian maqasid syariah. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengktifkan pemikiran kita, mencari rahsia-rahsia syariat Allah, dengan hati yang penuh ikhlas dan suci tiada lain kecuali mengharapkan keredhaan Allah, dan jauh daripada untuk ‘menyesuaikan’ hukum dengan kehendak nafsu sahaja

 

DAFTAR PUSTAKA;

 

  1. Nota-nota kuliah Ust. Khalif Muammar A.haris.
  2. TM Hasbi Ash Shiddieqy, Falsafah Hukum Islam, Semarang: Pt.Pustaka Rizki Putra, 2001.
  3. Dr.H.Suparman Usman,S.H., Hukum Islam, Asas-asas dan Pengantar Studi Hukum Islam dalam Tata Hukum Indonesia, Jakarta :Gaya Media Pratama, 2001.
  4. al-Qaradhawi, Dr.Yusuf, Fiqih Praktis Bagi Kehidupan Moden, terj. Abdul Hayyie al-Kattani et.al., Jakarta : Gema Insani, 2002.
  5. ___________________, Halal dan Haram Dalam Pandangan Islam, terj. Muammal Hamidy, Surabaya : PT Bina Ilmu, 1978.
  6. Zaidan, Dr. Abdul Karim, al-Madkhal Li Dirasat al-Syariah al-Islamiah, Beirut : Muassasah al-Risalah, 1986.